Promo Kod Morse

Promo Radio Amatur

Rabu, 21 November 2012

Gelombang radio

Gelombang radio adalah gelombang elektromagnetik pada frekuensi radio yang terdapat pada spektrum elektomagnetik. Gelombang berkenaan berfungsi bagi membawa maklumat seperti suara data atau video melalui ruang udara tanpa wayar atau wayarles.

Menurut seorang penyelidik tempatan yang banyak membuat penyelidikan mengenai komunikasi radio dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman, gelombang radio berlainan daripada gelombang optik dari segi jarak gelombang.

''Julat frekuensi gelombang radio adalah dari 3KHz hingga 300GHz,''ujarnya. Beliau menjelaskan, komunikasi radio berfungsi apabila maklumat yang dihantar sama ada suara, data atau video yang berada pada julat frekuensi rendah perlu dimodulatkan dengan menggunakan teknik modulasi tertentu sama ada analog atau digital.

Ia kemudian ditingkatkan kepada frekuensi yang lebih tinggi (bergantung kepada frekuensi yang telah ditetapkan untuk sesuatu penggunaan) sebelum dipancarkan ke ruang udara. Bahagian tersebut kata beliau dinamakan pemancar.

Isyarat yang dipancarkan akan diterima oleh penerima jika ia diselaraskan pada frekuensi pemancar. Bila isyarat tersebut diterima ia akan ditapis dan ditukar ke frekuensi yang lebih rendah sebelum di dimodulatkan untuk mendapatkan semula maklumat yang dihantar.

Mengulas lanjut Dr. Tharek berkata, komunikasi radio ketika ini penting dalam sistem perhubungan memandangkan manusia bergerak dari satu tempat ke tempat dan komunikasi amat diperlukan setiap masa tidak kira lokasi. Oleh itu komunikasi radio menjadi medium yang amat penting untuk berhubung.

Katanya, penggunaan komunikasi radio berdepan cabaran kejuruteraan yang perlu diatasi bagi memastikan ia efisien, kebolehharapan yang tinggi dan penerimaannya adalah jelas tanpa ada gangguan. Pada satu ketika, penggunaan komunikasi radio akan menjadi amat penting untuk capaian data, suara dan video.

Semua sistem komunikasi menjadi wayarles atau dan sebahagian kecil daripada pengguna era kini berasa hairan jika melihat telefon menggunakan wayar.

"Pada masa kini kebanyakan pengguna menggunakan komunikasi radio setiap hari dan setiap masa.
''Sebagai contoh telefon mudah alih, WiFi untuk capaian internet, komunikasi melalui satelit dan sebagainya.

Beliau berkata, komunikasi radio menggunakan ruang udara tanpa menggunakan wayar atau dinamakan wayarles. Komunikasi yang lain menggunakan kabel kuprum, kabel sepaksi dan gentian optik. Komunikasi radio sesuai untuk kawasan luar bandar dan kawasan yang mana penggunaan kabel menghadapi masalah dan melibatkan kos yang tinggi.

Kos penggunaan komunikasi radio tidak bergantung kepada jarak tetapi kos bagi medium yang menggunakan kabel bergantung kepada jarak iaitu semakin jauh jarak, maka lagi mahal kos.
Sebahagian penggunaan komunikasi radio

* Penggunaan data, video dan suara
* Telefon mudah alih
* Komunikasi satelit
* Capaian internet jalur lebar
* Navigasi
* Radar
* Amatur Radio

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan