SINTOK - Projek pemasangan Menara Antena Radio Amatur 9M4ITU dijalankan bagi memudahkan komunikasi terutamanya pada saat kecemasan termasuk bencana seperti banjir.

Justeru dalam usaha meningkatkan taraf sistem komunikasi itu, ITU-Universiti Utara Malaysia (UUM), Asia Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Develpment bekerjasama dengan ahli Radio Amatur di Malaysia (RACIM) menjalankan projek pemasangan terbabit.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid berkata, usaha itu bagi memudahkan komunikasi antara satu sama lain terutama mereka yang mendiami kawasan terpencil seperti di luar bandar.

Menurutnya, projek yang menelan belanja hampir RM10,000 itu penting dalam memudahkan komunikasi ketika berlakunya kecemasan seperti bencana dan ketidakupayaan komunikasi sedia ada.

“Hubungan komunikasi menjadi lebih penting apabila berhadapan situasi kecemasan memandangkan negara kita terdedah dengan bencana alam seperti banjir,” katanya pada majlis pelancaran Menara Antena Radio Amatur 9M4ITU, di sini.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terletak di kawasan jauh dari bandar, universiti itu memerlukan kelengkapan telekomunikasi lengkap sebagai persediaan awal jika berlakunya perkara tidak diingini seperti banjir.

Majlis yang turut disertai Presiden Persatuan Radio Amatur Melayu Utara Semenanjung Malaysia (Astra), Datuk Bahari Taib dan wakil dari Asia Pacific Instutute Broadcasting Development (AIBD), James Sinclair itu turut menyaksikan wakil Radio Amatur Antarabangsa, Murnich Jerman, Hans H Ehler membuat panggilan pertama radio amatur itu.

Menara Antena Radio Amatur 9M4ITU itu dipasang di bangunan ITU-UUM, Kompleks Konvensyen UUM dan ia boleh digunakan untuk perhubungan dalam dan luar negara semasa berlaku kecemasan.